Lelaki mati diserang ikan ketika memancing

Sydney: Seorang lelaki berusia 56 tahun meninggal dunia selepas diserang ikan yang melompat masuk ke dalam botnya.

Polis Wilayah Utara berkata, laporan diterima, hari ini menyatakan mangsa memancing bersama keluarga dan rakan di perairan dekat Pelabuhan Darwin apabila ikan besar menyerang dadanya.

Susulan itu, mangsa dibawa ke Jeti Cullen Bay dengan paramedik sudah sedia menunggu untuk memberi rawatan kecemasan.

“Malangnya mangsa meninggal dunia. Kejadian itu menjadi insiden aneh yang menyedihkan kenalan dan keluarga yang berada di dalam bot bersama mangsa,” kata polis seperti dilapor AFP.

Bagaimanapun, polis belum dapat mengenal pasti jenis ikan yang menyerang mangsa.

Seorang nelayan dikenali James Crane memberitahu ABC, mangsa mungkin diserang ikan seberat 18 kilogram daripada jenis ‘mackerel’ hingga mengakibatkan dia cedera parah.

“Ia kedengaran sangat mengerikan tetapi itu yang berlaku,” katanya yang memberitahu mangsa bersama kumpulannya difahamkan menaiki bot persendirian dan bukan bot memancing.

Dalam insiden hampir sama pada 2018, seorang wanita terselamat apabila lehernya ‘dipotong’ ikan ‘mackerel’ ketika memancing di perairan 45 kilometer dari Darwin.

Ikan seberat 10 kilogram dilapor melompat lebih 1.5 meter di udara sebelum meninggalkan wanita berkenaan terbaring di atas bot memancing dengan darah mengalir dari lehernya.