Lelaki rancang serang Rumah Putih dijel
Washington: Lelaki dari Georgia dihukum penjara 15 tahun kerana merancang serangan ke atas Rumah Putih menggunakan roket anti-kereta kebal bersama senjata dan bom tangan.
Hasher Taheb, 23, juga didakwa turut merancang melakukan serangan ke atas Statue of Liberty, Monumen Washington, Memorial Lincoln dan rumah ibadat di Washington, kata Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) dalam satu kenyataan.
Dia ditahan pada 16 Januari tahun lalu selepas siasatan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) selama setahun.
Ia hasil maklumat diberi masyarakat setempat apabila mendapati lelaki itu berhaluan ‘radikal’.
Mengikut pertuduhan, Taheb cuba merekrut seorang pemberi maklumat dan ejen FBI yang menyamar untuk melakukan serangan ke atas Rumah Putih, monumen dan sasaran lain.
Sumber FBI mendakwa, Taheb mahu melakukan ‘tugasan’ itu dan mengharapkan mati syahid serta berhasrat berhijrah ke negara dikuasai Daish di Timur Tengah.
Memandangkan dia tidak memiliki pasport, Taheb memberitahu ejen pemberi maklumat bahawa lebih baik dia melancarkan serangan di AS.
Pada 7 Disember 2018, dia berjumpa dengan ejen penyamar dan mendedahkan gambar rajah Sayap Barat di Rumah Putih yang menempatkan pejabat presiden
Pada minggu berikutnya, Taheb memperincikan senjata apa yang ingin diperolehnya untuk plot serangan itu dan menugaskan ejen FBI mendapatkannya iaitu senjata semi-automatik, anti-kereta kebal AT-4 dan bom tangan.
Dia ditahan ketika mengambil senjata berkenaan.