Lelaki Rohingya dihalang bertanding pilihan raya Myanmar

Yangon: Seorang lelaki Muslim dari etnik minoriti Rohingya mendakwa dihalang daripada menjadi calon pada pilihan raya umum negara ini, pada November depan.

Tiga parti pimpinan etnik itu dikatakan berharap dapat mencalonkan sekurang-kurangnya 12 orang ahli mereka sebagai calon pilihan raya berkenaan.

Abdul Rasheed, 58, yang juga ahli Parti Demokrasi dan Hak Asasi Manusia memberitahu AFP berkata, pencalonannya ditolak oleh suruhanjaya pilihan raya di Sittwe, Rakhine.

Beliau dimaklumkan rekod menunjukkan ibu bapanya bukan warganegara Mynmar, ketika dia dilahirkan.

Bagaimanapun, lelaki itu mendakwa dia mempunyai bukti bahawa datuk, nenek dan ibu bapanya diberikan status warganegara pada 1957, empat tahun sebelum dia dilahirkan.

“Ini menyalahi undang-undang,” katanya yang akan merayu keputusan jawatankuasa berkenaan.

Menurutnya, langkah itu untuk menghalang individu dari etnik Rohingnya supaya tidak dapat bertanding dalam pilihan raya.

Hak etnik itu termasuk status kewarganegaraan semakin dinafikan pihak berkuasa sejak beberapa dekad lalu.

Rasheed berkata, perkembangan itu juga menunjukkan diskriminasi pihak berkuasa dan berkaitan dengan ‘pembersihan’ etnik Rohingya.

Dalam pada itu, suruhanjaya pilihan raya Rakhine di Sittwe menafikan dakwaan tidak berlaku adil terhadap Rasheed.

“Pencalonannya bukan ditolak kerana dia seorang Muslim tetapi permohonannya tidak mengikut undang-undang pilihan raya,” kata pengerusinya, Tin Hlaing kepada AFP.

Operasi ketenteraan pada 2017 menyaksikan lebih 750,000 individu Rohingya melarikan diri dari negara ini.

Mereka kemudian berlindung di kem-kem pelarian di Bangladesh.

Myanmar menafikan dakwaan pembersihan etnik dan memberi alasan operasi berkenaan untuk melumpuhkan pengganas.

Lebih 600,000 individu ektnik berkenaan masih tinggal di Myanmar tetapi tidak dianggap sebagai warganegara atau mempunyai hak mengundi.