Lelaki ‘tidak rasmi’ tertua meninggal dunia

JOHANNESBURG: Fredie Blom yang tersenarai sebagai lelaki paling tua di dunia oleh media Afrika Selatan meninggal dunia, pada usia 116 tahun.

Ahli keluarganya berkata, dia yang lahir pada 8 Mei 1904 meninggal dunia Sabtu lalu di Hospital Tygerberg di Cape Town, Afrika Selatan.

Guinness World Records menyenaraikan lelaki tertua dunia kini yang masih hidup adalah

Britain Bob Weighton, berusia 112 tahun.

Tetapi, media Afrika Selatan secara tidak rasmi menganggap bahawa Blom sebagai lelaki tertua di dunia.

Dia antara yang melalui era Selesema Sepanyol pada 1918 dan seluruh ahli keluarganya maut akibat wabak berkenaan.

Tetapi dia sendiri selamat dan terus membesarkan ketiga-tiga anaknya dan menjadi datuk kepada lima orang selama bertahun-tahun.

“Dua minggu yang lalu oupa (datuk) masih menebang kayu,” kata jurucakap keluarga Andre Naidoo kepada AFP, sambil mengingatkan lelaki tua itu menggunakan tukul seberat kira-kira dua kilogram.

Tetapi dalam masa tiga hari, keluarganya melihatnya berubah ‘daripada orang yang besar kepada individu kecil’.

Blom dilahirkan di bandar luar bandar Adelaide, terletak dekat pergunungan Great Winterberg di wilayah Cape Timur, Afrika Selatan.

Mei lalu, ketika dunia berdepan wabak pandemik Covid-19, Blom menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-116.

Wabak berkenaan turut mengingatkannya mengenai pandemik Selesema Sepanyol yang mengorbankan adik perempuannya.