Letupan tangki minyak di Jeddah berpunca serangan pengganas

Istanbul: Kebakaran sebuah tangki minyak di bandar pelabuhan Arab Saudi, Jeddah berpunca daripada serangan pengganas, seorang pegawai mengesahkannya semalam, lapor Agensi Anadolu.

“Pada jam 3.50 pagi (waktu tempatan) Isnin (semalam), berlaku satu letupan menyebabkan kebakaran di tangki minyak di stesen pengedaran produk petroleum di utara bandar Jeddah,” kata Agensi Berita Arab Saudi (SPA) memetik seorang pegawai Kementerian Tenaga.

Bagaimanapun, sumber itu tidak menuduh mana-mana kumpulan melakukan serangan itu.

Beliau menambah pasukan bomba berjaya memadamkan api dan tiada korban dilaporkan.

Pegawai itu juga mengesahkan letupan tidak mengganggu pengedaran bekalan minyak dari stesen kepada pelanggan.

Sebelum itu, jurucakap Houthi, Yahya Saree, mengatakan kumpulannya membedil stesen pengedaran syarikat minyak milik negara Arab Saudi, Aramco di Jeddah.

“Kegiatan pengganas dan gangguan terhadap kemudahan penting bertujuan menyasarkan keselamatan dan kestabilan pengagihan bekalan tenaga global dan ekonomi dunia,” tambah pegawai Saudi itu.