Lima sekeluarga ditembak mati di Bangkok

Bangkok: Polis Thailand sedang menyiasat kejadian tembakan di sebuah rumah di daerah Thung Khru, Bangkok pagi ini yang menyebabkan lima sekeluarga, termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun, terbunuh.

Timbalan jurucakap polis, Kolonel Polis Krissana Pattanacharoen berkata polis Thung Khru dimaklumkan mengenai kejadian itu pada pukul 8.30 pagi (waktu tempatan).

Beliau berkata pegawai polis bergegas ke tempat kejadian dan menemukan lima mayat – terdiri dua lelaki, dua perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki – terbaring berlumuran darah di rumah teres dua tingkat itu.

Menurut beliau polis mengenal pasti kelima-lima mangsa terdiri kanak-kanak lelaki, ayah dan ibunya serta datuk dan nenek kanak-kanak itu.

“Pihak berkuasa turut menjumpai sepucuk pistol separa automatik berada di tangan kanan bapa kanak-kanak itu.

“Polis memeriksa tempat kejadian dan mengumpulkan bukti tambahan untuk siasatan lanjut dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Krissana berkata, siasatan awal mendapati keluarga itu memiliki sebuah kedai alat ganti kenderaan. Motif sebenar kejadian masih disiasat.

Semua mayat telah dihantar ke Hospital Siriraj untuk bedah siasat.

Media tempatan melaporkan jiran-jiran terdengar tembakan pada awal pagi, sebelum bergegas ke lokasi kejadian dan menemukan mayat bergelimpangan dalam rumah berkenaan.