Lintah dalam kerongkong

Beijing: Sakit tekak dialami seorang budak lelaki dari Yunnan, China sejak lebih setahun yang lalu akhirnya terjawab apabila seekor lintah ditemui di dalam kerongkongnya.

Daily Star melaporkan haiwan berukuran 2.8 inci (kira-kira 5.3 sentimeter (sm) itu berjaya dikeluarkan menerusi pembedahan di sebuah hospital.

Rakaman di bilik pembedahan menunjukkan doktor dan kakitangan perubatan memasukkan alat khas ke tekak mangsa yang berusia lima tahun.

Kejayaan itu sekali gus menghilangkan masalah budak lelaki itu yang sebelum ini sering mengalami sakit tekak, sukar bernafas dan kuat berdengkur ketika tidur.

Doktor bertugas memaklumkan haiwan parasit itu kemungkinan memasuki saluran badan waktu mangsa minum air.

Justeru, beliau mengingatkan kanak-kanak supaya tidak meminum air yang kotor.

Menurut laporan media tempatan, kejadian seperti itu pernah berlaku di daerah sama tahun lalu membabitkan seorang budak lelaki berusia empat tahun namun lintah itu dapat dikeluarkan.

Kes lain berlaku pada April lalu membabitkan seorang budak lelaki berusia sembilan tahun yang hidungnya dimasuki lintah selepas terminum air dari sumber tercemar di sebuah kawasan luar bandar.

Budak lelaki itu bernasib baik apabila lintah berukuran dua inci (lima sm) itu selamat dikeluarkan.

Menurut doktor, lintah adalah haiwan penghisap darah yang mudah melekat pada bahagian atau kawasan yang lembab.

Namun, jarang sekali untuk haiwan parasit itu berada dalam badan manusia untuk tempoh yang lama.