Lonjakan kes Covid-19 di hemisfera utara – WHO

Geneva: Negara-negara di hemisfera utara kini berdepan detik sukar dalam melawan penularan Covid-19, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menurut organisasi itu, terdapat banyak negara di bahagian berkenaan yang kini menyaksikan lonjakan kes baharu.

“Tempoh beberapa bulan lagi akan menjadi amat getir dan sebahagian daripada negara berkenaan berada di landasan yang buruk,” kata Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus menerusi sidang media secara maya.

Beliau berkata, terlalu banyak negara berkenaan kini merekodkan peningkatan kes baharu Covid-19 dan ia menyebabkan kapasiti unit rawatan rapi (ICU) di negara berkenaan menghampiri atau melebihi kapasiti.

“Kita menggesa pemimpin negara untuk mengambil langkah sewajarnya untuk mengelak lebih ramai yang terkorban,” katanya.

Covid-19 sudah menjangkiti hampir 42 orang dan membunuh 1.1 juta orang sejak pertama kali dikesan di China, Disember tahun lalu, berdasarkan kiraan AFP.

Maria Van Kerkhove, yang mengetuai pasukan teknikal Covid-19 WHO pula berkata, situasi amat membimbangkan di Eropah apabila hampir separuh kes baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu adalah dalam kalangan negara di benua berkenaan.

“Kita bukan sahaja melihat peningkatan kes di banyak bandar di Eropah, tetapi kapasiti ICU juga akan menghampiri maksimum dalam masa beberapa minggu lagi,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19