‘Maafkan aku, aku pergi, biarkan anak-anak ikut bersama…’

Jakarta: Seorang wanita ditemui mati di dapur rumahnya di daerah Tenayan Raya, Pekanbaru, Riau, Indonesia, dipercayai kerana membunuh diri selepas bertengkar dengan suaminya yang mahu menjual rumah mereka.

Portal Kompas melaporkan sebelum menggantung dirinya dengan kain, wanita berkenaan sempat membunuh anaknya yang berumur enam bulan dan enam tahun dipercayai dengan cara meracun kedua-dua mangsa.

Mayat wanita berkenaan ditemui bersama sekeping nota bertulis “Maafkan aku, aku pergi, biarkan anak-anak ikut bersama.”

Ketua Polis Daerah Tenayan Raya, M Hanafi Tanjung memaklumkan berlaku pertengkaran antara wanita itu dan suaminya pada pagi hari kejadian.

“Difahamkan, suami wanita itu mahu menjual rumah didiami mereka untuk mendapatkan modal bagi menjalankan perniagaan.

“Wanita itu membantah jadi berlaku pertengkaran mulut antara dia dan suaminya.

“Suami wanita itu memintanya keluar untuk menenangkan diri, tetapi dia enggan kerana dalam keadaan beremosi ” katanya.