‘Macam neraka’

Beijing: Sekurang-kurangnya 5,000 haiwan peliharaan mati dalam kotak penghantaran di kemudahan logistik di wilayah Henan berikutan masalah komunikasi dalam rantaian bekalan industri pembiakan skala besar China.

Hanya beberapa ratus haiwan dapat diselamatkan dan pihak berkuasa menyiasat perkara itu, kata kumpulan penyelamat haiwan kepada CBS News, Rabu minggu lalu.

Aktivis kumpulan Utopia dikenali Hua berkata, stesen logistik itu penuh dengan kotak berisi bangkai haiwan dan berbau busuk.

“Keadaannya tidak ubah seperti neraka,” katanya yang memberitahu antara haiwan mati adalah arnab, babi, anjing dan kucing.

Semua haiwan diletakkan dalam kandang besi atau plastik yang dibalut dalam kotak penghantaran yang ada lubang udara.

Ia ditinggalkan dalam kotak itu selama seminggu tanpa makan dan minum sebelum ditemui di stesen Logistik Dongzing.

“Jelas haiwan ini mati disebabkan kelaparan, dehidrasi dan lemas,” kata Hua.

Menurutnya lagi masalah komunikasi dalam syarikat penghantaran dan ketidakcekapan peraturan penghantaran menyumbang kepada tragedi itu.

Beliau juga menegaskan pembeli dan penjual haiwan berkenaan juga perlu bertanggungjawab.