Machu Picchu dibuka untuk seorang pelancong

Lima: Lokasi tarikan pelancong terkenal di Peru, Machu Picchu dibuka semula selepas sebulan ditutup kepada umum ekoran pandemik Covid-19 di negara berkenaan.

Namun, kali ini pembukaannya hanya dikhaskan kepada seorang pelancong Jepun yang terkandas di negara berkenaan disebabkan Covid-19.

“Saya menjadi orang pertama di dunia ini yang dibenarkan masuk ke Machu Picchu sejak ia ditutup,” kata Jesse Katayama menerusi catatan di Instagram bersama beberapa keping gambar di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, kebenaran yang diberikan kerajaan Peru adalah sesuatu yang menakjubkan.

“Ini sesuatu yang menakjubkan dan terima kasih,” kata lelaki itu menerusi rakaman video di Facebook agensi pelancongan tempatan di Cusco.

Katayama merakamkan video berlatar puncak gunung yang dihiasi dengan binaan kuno yang ditutup kepada orang awam sejak Mac lalu.

Kawasan pelancongan itu sebelum ini menarik ribuan pelancong setiap hari, namun ia sepi selepas penularan wabak maut itu di seluruh dunia.

Jurulatih tinju berusia 26 tahun dan berasal dari Nara, Jepun itu terkandas di Peru, sejak Mac lalu.

Dia membeli tiket masuk sehari sebelum kerajaan mengumumkan perintah kecemasan kesihatan seluruh negara.

Bercakap kepada media tempatan, lelaki itu berkata, dia pada mulanya merancang untuk menghabiskan tiga hari di kawasan itu.

Namun, disebabkan pembatalan penerbangan selain sekatan perjalanan menyebabkan dia tersekat di situ, sejak Mac lalu.

Dia bernasib baik apabila bertemu dengan pihak berkuasa pelancongan yang kemudiannya bersetuju memberi kebenaran untuk melawat Bandar Inca hanya untuk dirinya.