Maggie hadir penyeri 14 abang

Washington: Sebelum ini, mereka sudah mempunyai 14 anak lelaki, namun kelahiran cahaya mata baharu memberikan sinar buat sebuah keluarga besar di Michigan, Amerika Syarikat.

The Guardian melaporkan, Jay dan Kateri Schwandt yang kedua-duanya berusia 45 tahun akhirnya dikurniakan anak perempuan, Khamis lalu.

Bayi diberi nama Maggie Jayne itu memberikan kegembiraan kepada pasangan berkenaan yang sebelum ini dikurniakan semua anak lelaki.

“Tahun ini menjadi tahun yang memberi kesan banyak perkara. Namun Maggie anugerah terbesar kami,” kata Jay.

Bayi itu dilahirkan di Hospital Mercy Health Saint Mary’s di Grand Rapids.

Keluarga itu terkenal dalam kalangan media tempatan kerana memiliki ahli keluarga yang ramai serta terus bertambah.

Mereka mempunyai program secara langsung, 14 Outdoorsmen perlu diganti selepas ini susulan kelahiran Maggie.

Bagi anak sulung mereka, Tyler Schwandt, 28, ibu bapanya menganggap mereka mungkin tidak akan mendapat anak perempuan selepas mempunyai 14 anak lelaki.

“Saya tidak tahu apakah mereka mempunyai pakaian berwarna pink (merah jambu) atau lain,” katanya.

Pasangan berkenaan mula berkenalan sejak muda dan bersekolah di Sekolah Tinggi Gaylord dan Gaylord St Mary’s.

Mereka melangsungkan perkahwinan pada tahun 1993 sebelum belajar di Universiti Ferris State dan mendapat tiga orang anak sebelum lulus pengajian di situ.