Maghribi pula ‘berdamai’ dengan Israel

Washington: Maghribi menjadi negara Arab keempat tahun ini yang memulihkan hubungan dengan Israel, dan sebagai balasannya, Presiden Donald Trump menyokong usaha negara itu selama berpuluh tahun dalam menuntut kedaulatan di Sahara Barat.

Dengan hanya kurang sebulan sebagai presiden, Trump yang juga penyokong kuat Israel, menerusi Twitter berkata, rejim Yahudi sudah bersetuju untuk menandatangani perjanjian bersejarah itu dengan Maghribi.

Rumah Putih juga berkata, Trump juga akan ‘mengiktiraf kedaulatan Maghribi terhadap seluruh wilayah di Sahara Barat’, sekali gus membangkitkan kemarahan gerakan pemberontak pembebasan nasional, Front Polisario disokong Algeria yang menguasai satu perlima kawasan berkenaan.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, Maghribi dan Israel juga akan membuka semula pejabat perhubungan di Tel Aviv dan Rabat, yang ditutup oleh Maghribi pada 2000, ketika kebangkitan kedua rakyat Palestin (intifada) dan kembali menjalin hubungan diplomatik.

Selain itu, beliau berkata, Maghribi juga akan membenarkan operasi penerbangan terus dari Israel.

Sebelum Maghribi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Sudan sudah menandatangani perjanjian tajaan AS bagi memulihkan hubungan dengan Israel.

Selain itu, Mesir dan Jordan sudah menandatangani perjanjian damai dengan rejim berkenaan.