Mahkamah Christchurch dikawal ketat

Wellington: Kompleks mahkamah di Christchurch dikawal ketat susulan prosiding jatuh hukum terhadap lelaki yang yang menyerang dua masjid dan menembak mati 51 orang Islam, tahun lalu.

Ia dikawal oleh pasukan keselamatan dengan pita larangan polis dipasang di sekitar bangunan mahkamah.

Selain itu, anjing pengesan turut memeriksa petugas media dan kakitangan mahkamah yang beratur untuk memasuki bangunan berkenaan.

Prosiding jatuh hukum itu dijangka berlangsung empat hari bermula Isnin.

Lebih 60 individu dari pelbagai negara akan memberikan kenyataan impak mangsa (VIS) sebelum hakim menjatuhkan hukuman.

Tertuduh, Brenton Tarrant, 29, sebelum ini mengaku bersalah atas 51 pertuduhan membunuh, 40 pertuduhan cubaan bunuh dan satu pertuduhan keganasan.

Dia berdepan dengan hukuman penjara sepanjang hayat.

Difahamkan, tertuduh itu diletakkan di lokap di tingkat bawah mahkamah.

Dalam pada itu, mahkamah juga akan memberitahu wakil media mengenai butiran yang boleh diterbitkan atau tidak, pada akhir setiap prosiding.

Ia bagi memastikan Tarrant tidak mengambil kesempatan itu untuk menyebarkan propaganda aktiviti keganasan.

Dalam pada itu, prosiding itu akan diterjemahkan secara langsung ke dalam lapan bahasa juga disediakan bagi memenuhi keperluan masyarakat Muslim New Zealand yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan keturunan.

Pada kejadian 15 Mac tahun lalu itu, Tarrant melepaskan tembakan di dua masjid Christchurch dan menyiarkannya menerusi penstriman langsung di Facebook.

Berita berkaitan

• Tertuduh bersemuka dengan keluarga mangsa