Makmal nafi punca Covid-19

Beijing: Pengarah Institut Virologi Wuhan menafikan bahawa penularan Covid19 berpunca dari makmal berkenaan.

Yuan Zhiming berkata, adalah tidak benar virus itu datang dari makmal kendaliannya.

Katanya, tiada kakitangan makmal itu yang dilaporkan dijangkiti dan fasiliti itu menjalankan kajian berbeza berkaitan koronavirus.

“Sebagai orang yang menjalankan kajian penyakit, kami jelas mengetahui jenis penyelidikan yang dijalankan dan bagaimana untuk menguruskan virus serta sampel,” katanya menerusi temubual dengan media tempatan.

Saintis China mendakwa Covid-19 berpunca dari haiwan sebelum berpindah kepada manusia di sebuah pasar menjual haiwan liar di Wuhan .

Bagaimanapun, sesetengah pihak di Amerika Syarikat (AS) mendakwa terdapat kemungkinan virus itu berpunca dari makmal berkenaan.

Institut itu pada Februari lalu menolak dakwaan mengenai teori berkenaan dan memaklumkan mereka sudah berkongsi maklumat dengan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) berkaitan virus itu.

Namun, minggu ini, Setiausaha Negara AS Mike Pompeo memaklumkan pegawai negara itu sedang menjalankan ‘siasatan penuh’ bagaimana virus itu boleh merebak ke seluruh dunia.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19