Malang berganda

New Delhi: Seorang remaja perempuan bukan saja disahkan positif Covid-19 malah dia kini hidup dalam keadaan tertekan selepas dirogol ketika menerima rawatan di pusat rawatan wabak itu di ibu kota, kata polis.

Suspek berusia 19 tahun itu juga adalah seorang daripada pesakit yang sedang menerima rawatan di pusat rawatan sama kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Delhi, Parvinder Singh kepada CNN.

“Mangsa berusia 14 tahun tidak mengenali suspek dan dia dirogol di kawasan pengasingan dan suspek bersama seorang lagi rakannya berusia 20 tahun terbabit dalam kejadian berkenaan,” katanya.

Suspek dan mangsa sebelum itu disahkan positif pandemik berkenaan dan ditempatkan di Pusat Penjagaan Sardar Patel di Chhatarpur di selatan bandar ini yang mampu memuatkan 10,000 katil.

Polis menerima laporan mengenai kejadian itu daripada keluarga mangsa pada 16 Julai lalu.

“Berdasarkan maklumat, mangsa mendakwa lelaki berusia 20 tahun itu merakam kejadian menggunakan telefon bimbitnya dan kami turur menyiasat dakwaan itu mengikut kesalahan rogol mengikut Akta Perlindungan Kanak-Kanak dari Jenayah Seksual,” katanya.

Singh memaklumkan kepada CNN, dua suspek sudah ditahan dan kini dirawat di hospital kerajaan atas perintah yang keluarkan hakim kerana mereka masih lagi dirawat kerana Covid-19.

Bagaimanapun mangsa ditempatkan di hospital berbeza dan masih menerima rawatan, tambahnya lagi.

India kini antara negara yang terjejas teruk akibat Covid-19 dengan merekodkan 1.28 juta orang dijangkiti menurut Universiti Johns Hopkins selepas Amerika Syarikat dan Brazil.

Pada Jumaat, India mencatatkan rekod baru wabak itu dengan 49,311 kes baharu dalam tempoh 24 jam menurut Kementerian Kesihatan, Keluarga dan Kebajikan dan dalam tempoh dua hari negara itu merekodkan 95,000 kes baharu.

Namun, angka berkenaan berkemungkinan lebih tinggi daripada realiti dan kajian terbaru Pusat Kawalan Penyakit Kebangsaan India mendapati seorang daripada empat rakyat India mungkin dijangkiti.