Mangsa buli siber

TOKYO: Tertekan dengan buli siber yang mempertikaikan tindakannya tidak memakai pelitup muka, dipercayai punca bintang program realiti televisyen Jepun, Maria Hamasaki, 23, membunuh diri.

Hamasaki adalah seorang peserta program realiti, The Bachelor Japan kendalian, Abema TV.

Memetik portal NHK World Japan, wanita itu ditemui mati di apartmen miliknya di Tokyo semalam.

Sumber berkata, Hamasaki membunuh diri akibat menerima pelbagai kritikan dan kecaman hebat di media sosial kerana tidak memakai pelitup muka ketika keluar rumah sekitar April.

Komen terbabit mencetuskan perbalahan dalam talian antara dirinya dan pengkritik.

Insiden itu bermula selepas wanita itu kerap memuat naik perkongsian rutin hariannya di media sosial.

Abema berkata, berdasarkan situasi semasa, mereka tidak menemui sebarang petanda yang menunjukkan wanita itu bermasalah.

Polis Tokyo menyoal siasat mereka yang mengenalinya untuk menyiasat punca kematiannya.

Buli siber turut membuatkan ramai bintang program realiti lain membunuh diri.

Rancangan disertai Hamasaki memaparkan kehidupan seorang lelaki dan wanita menetap bersama dalam tempoh 30 hari untuk melihat sama ada mereka boleh berkahwin dalam kehidupan sebenar.

Namun, selepas kematian Hamasaki, syarikat terbabit menarik semula program terbabit walaupun rancangan itu sangat popular dalam kalangan orang muda di Jepun.