Manila dilanda banjir kesan Taufan Vamco

Manila: Taufan ketiga yang melanda Filipina dalam beberapa minggu ini menyebabkan banjir besar di Manila hari ini, meragut sekurang-kurangnya satu nyawa.

Semalam, Taufan Vamco dengan kelajuan angin sehingga 155 kilometer sejam membadai pulau terbesar di negara itu, Luzon.

Pihak berkuasa memberi amaran risiko kejadian tanah runtuh dan ribut yang boleh membawa maut di sepanjang pantai.

Hujan lebat melumpuhkan kota Manila dan sekitarnya yang mempunyai jumlah penduduk seramai 12 juta orang.

“Banyak kawasan tenggelam. Ramai yang meminta bantuan,” kata Rouel Santos, 53, seorang pesara pegawai bencana di wilayah Rizal, berhampiran ibu negara itu.

Katanya, banjir yang disebabkan oleh Vamco mengingatkan penduduk mengenai Taufan Ketsana yang dahsyat, dikenali sebagai Tropical Storm Ondoy, yang melanda pada tahun 2009 dan meragut ratusan nyawa.

Seorang pegawai dari Pejabat Pertahanan Awam negara itu memaklumkan, hujan yang dibawa Vamco hampir menyamai Ondoy, memberi amaran banjir boleh bertambah buruk dengan aliran air dari pergunungan berdekatan mengalir ke saluran yang penuh.

Anggota Pertubuhan Palang Merah Filipina menggunakan bot untuk menyelamatkan mangsa yang terkandas di kediaman mereka di Marikina City, salah satu kawasan paling teruk terjejas di mana air di beberapa jalan mencapai ketinggian bahu.

Gambar yang dikongsi di Twitter Ketua Pertubuhan Palang Merah Richard Gordon, menunjukkan mangsa diturunkan menerusi lubang di bumbung sementara yang lain dibantu untuk memanjat balkoni dan menaiki bot.

Datuk Bandar Marikina City, Marcelino Teodoro berkata, kesan yang dihadapi ketika ini adalah sama seperti ketika Ondoy melanda.

” Terdapat ramai yang sehingga kini terdampar di bumbung atau terperangkap di tingkat dua rumah mereka.

Beberapa kawasan yang tidak pernah dilanda banjir, , tenggelam.”

Sekurang-kurangnya seorang maut manakala tiga yang lain hilang di wilayah Camarines Norte, kata Jabatan Pertahanan Awam, semalam.