Manusia kalkulator

Hyderabad: Kemalangan ketika berusia lima tahun mengubah nasib seorang lelaki dari India apabila dia dianugerahkan dengan kelebihan sehingga digelar ‘manusia kalkulator.’

Insiden itu menyebabkan Neelakhantha Bhanu Prakash dapat menyelesaikan masalah matematik tanpa menggunakan kalkulator dengan tempoh yang pantas.

Malah, pemuda berusia 20 tahun itu muncul pemenang pingat emas Kejohanan Dunia Pengiraan Mental Dunia di Mind Sports Olympiad (MSO), London.

Menurut Neelakhantha kemalangan itu berlaku ketika basikal ditunggangnya berlanggar dengan bas.

Akibatnya, dia parah di kepala dan dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Selain itu, dia menerima 70 jahitan.

“Sejak itu, keluarga saya akan memastikan saya tidak memandang cermin pada mana-mana sudut pun di dalam rumah.

“Ia dilakukan kerana mereka tidak mahu saya hilang semangat,” katanya.

Mereka memperkenalkan saya dengan permainan silang kata.

“Daripada silang kata , saya beralih kepada sempoa. Saya tidak mungkin sampai ke tahap ini jika tidak mengalami kemalangan itu,” katanya seperti dilaporkan The Week.

Bhanu Prakash yang juga lulusan Kolej St Stephen, New Delhi berkata, dia memperuntukkan sejam setiap hari untuk berlatih mengira.

“Ini hanya dapat dicapai dengan latihan berterusan. Ia seperti bidang sukan yang mana kita perlu berlatih untuk menguji keupayaan,” katanya.

Dalam pada itu, Bhanu Prakash giat mengadakan program bagi memupuk minat generasi muda di India terhadap Matematik

“Jika boleh, saya mahu menghapuskan rasa fobia terhadap Matematik dalam kalangan anak muda,” katanya.