Masjid Nabawi mula dibuka esok

Riyadh: Arab Saudi mengumumkan hari ini bahawa Masjid Nabawi di Madinah akan dibuka semula kepada orang ramai secara berperingkat, bermula esok.

Berdasarkan laporan Arab News, masjid di serata negara itu, kecuali di Makkah, akan membuka ruangnya semula kepada jemaah esok, sebagai sebahagian daripada langkah melonggarkan perintah berkurung yang dikuat kuasakan bagi membendung penularan Covid-19.

Saudi Gazette pula melaporkan bahawa langkah berjaga-jaga yang ketat akan dilaksanakan, termasuk dengan mengehadkan bilangan jemaah sehingga 40 peratus untuk satu-satu masa.

Jemaah hanya akan dibenarkan masuk ke dalam masjid bermula waktu solat subuh esok.

Menteri bagi Ehwal Agama, Dr Abdullatif Abdulaziz Al-Sheikh sebelum ini mengumumkan bahawa semua masjid kerajaan itu kini bersedia menyambut jemaah selepas membuat tinjauan persiapan yang dilakukan.

“Sepanjang pemeriksaan yang dibuat, kami mendapati semua masjid kini selesai membuat persiapan dan berada dalam keadaan baik,” katanya.

Kementerian juga menyarankan jemaah yang berada masjid supaya membaca al-Quran di telefon pintar masing-masing atau membawanya dari rumah, selain menggunakan sejadah sendiri dan patuh penjarakan sosial dua meter.

Mereka yang di bawah 15 tahun dilarang menunaikan solat di masjid dan jemaah dituntut memakai pelitup muka serta elak berjabat tangan serta bersesak di pintu masjid.