Mati akibat tegur pelanggan tak pakai pelitup muka

Lansing: Gara-gara menegur pelanggan tidak memakai pelitup muka, seorang pengawal keselamatan di sebuah kedai di Michigan, Amerika Syarikat ditembak mati.

Calvin Munerlyn, 43, ditembak di kepalanya Jumaat lalu di Flint selepas memberitahu Sharmel Teague, 45, bahawa anak perempuannya tidak boleh masuk ke kedai itu tanpa memakai pelitup muka.

CNN melaporkan, dalam kejadian berkenaan, selepas ditegur, anak perempuannya keluar dari kedai, namun Sharmel yang tidak berpuas hati masih bertengkar dengan Teague.

Selepas itu, wanita itu meninggalkan kedai dengan menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV), tetapi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kenderaan itu kembali ke premis terbabit, tidak lama kemudian.

Kali ini, suami Sharmel, Larry Teague, 44, dan anak wanita itu, Ramonyea Bishop, 23, datang ke kedai, sebelum bersemuka dengan Munerlyn dan menuduhnya tidak menghormati wanita berkenaan.

Ia dikatakan berakhir dengan Bishop dipercayai menembak pengawal keselamatan terbabit.

Mangsa yang parah meninggal dunia di hospital.

Susulan kejadian, Sharmel, Teague dan Bishop berdepan tuduhan membunuh mangsa serta berhubung senjata api.

Teague juga dituduh kerana melanggar peraturan pemakaian pelitup muka di dalam kedai bagi membendung penularan Covid-19.

Gabenor Michigan, Gretchen Whitmer sebelum ini menerusi perintah eksekutifnya mengarahkan semua kakitangan premis perniagaan dan pelanggan memakai pelitup muka.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19