Mati makan likuoris hitam

Massachusetts: Tabiat gemar memakan gula-gula likuoris hitam menjadi punca kematian seorang lelaki di Amerika Syarikat.

Gulf News melaporkan Pakar Kardiologi di Hospital Besar Massachusetts, Dr Neel Butala mendedahkan, tabiat makan satu atau setengah bungkus setiap hari selama beberapa minggu menghilangkan nutrisinya dan menjadi penyebab jantung lelaki berusia 54 tahun itu terhenti.

“Walau amaun likuoris dimakan secara sedikit pun, ia tetap boleh menaikkan sedikit tekanan darah.

“Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA) hanya membenarkan sehingga 3.1 peratus asid glycyrrhizic dalam kandungan makanan tetapi kebanyakan gula-gula dan produk likuoris lain tidak mendedahkan berapa banyak kandungan per auns,” katanya yang memetik kajian Jurnal Perubatan New England.

Masalah utama asid glycyrrhizic yang terkandung dalam likuoris hitam dan banyak makanan tambahan lain yang mengandungi ekstrak akar likuoris.

Kesannya membahayakan apabila boleh menyebabkan rendah potasium dan ketidakseimbangan dalam mineral lain dipanggil elektrolit.

FDA memberi amaran dengan hanya makan sedikit iaitu dua auns likuoris hitam sehari selama dua minggu boleh mengakibatkan masalah degupan jantung terutama mereka yang berumur lebih 40 tahun.