Maut jatuh belon udara panas

Hunan: Penuntut universiti meninggal dunia selepas terjatuh dari belon udara panas yang berketinggian 10 meter di bandar Zhuzhou di sini, Jumaat minggu lalu.

Penuntut lelaki itu yang bekerja sambilan dengan syarikat mengendalikan festival belon udara Youyi Manor sebelum itu dilihat bergayut di tepi bakul.

Rakaman insiden tular di media sosial memperlihatkan penuntut itu jatuh disusuli jeritan orang ramai.

Belon itu akhirnya didaratkan namun selepas penuntut berkenaan jatuh.

Jurucakap Kelab Sukan Udara Lexiang mengesahkan kejadian dan mangsa pekerja sambilan kelab itu dan kali pertama mengurus kumpulan pelancongan.

Disebabkan Covid-19, tidak banyak operator belon udara panas beroperasi, maka pengendali mengambil penuntut universiti sebagai pekerja sambilan.

“Kami melatih mereka proses pelepasan dan pendaratan yang betul, namun mangsa mungkin tidak patuh prosedur itu.

“Dia seperti tidak memberi perhatian apabila terus memasuki bakul belon dan terbang,” kata jurucakap kelab itu.