Maut terminum cecair pembasmi kuman

Jakarta: Kanak-kanak lelaki berumur dua tahun dari Sukabumi, Jawa Barat meninggal dunia selepas terminum cecair pembasmi kuman, malam kelmarin.

Kompas.com melaporkan, keluarganya memberitahu mangsa meminum cecair itu kerana menyangka ia air mineral.

Kanak-kanak dikenali sebagai MA dilaporkan meminum cecair itu sebaik tiba di rumah bersama datuknya selepas bermain di luar.

Mangsa mengambil cecair di dalam botol plastik yang diletakkan di bawah kerusi.

Bapa mangsa, Sihabudin memberitahu Kompas.com, dia menggunakan cecair berkenaan untuk menyahkuman masjid berhampiran.

“Selesai tugas, saya simpan cecair itu di bawah kerusi. Datuknya melihat MA mengambil botol plastik itu dan kemudian segera meletakkan botol itu jauh daripada anak saya.

“Tetapi kami mengesyaki dia sudah terminum cecair berkenaan,” katanya yang juga kakitangan di Agensi Mitigasi Bencana (BPBD) Sukabumi.

Difahamkan, Sihabudin cuba memberi anaknya minum minyak sayuran dengan harapan mangsa memuntahkan kembali cecair itu sebelum membawa mangsa ke Hospital Pelabuhanratu.

Mangsa dirawat di bilik kecemasan kerana unit rawatan rapi pediatrik di hospital itu sudah penuh.

Kanak-kanak itu diberikan alat bantuan pernafasan, tetapi meninggal dunia tidak lama kemudian.

Meskipun sedih, Sihabudin dan keluarganya akur dengan ketentuan itu.