Maut tertembak kepala bermain pistol

Oregon: Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun maut selepas tertembak di kepala ketika ‘bermain’ dengan pistol milik keluarganya dalam kejadian di Aloha, Oregon, Jumaat lalu.

Tragedi menimpa James Kenneth Lindquester itu berlaku selepas menemui pistol berisi peluru hidup yang disimpan dalam laci meja di bilik tidur di rumah keluarganya itu.

Sebaik menyedari kejadian itu, ahli keluarga kanak-kanak terbabit segera menghubungi talian kecemasan 911, tetapi pasukan perubatan gagal menyelamatkannya.

Kanak-kanak itu meninggal dunia selepas dua jam dilaporkan kritikal akibat terkena tembakan itu, kata pegawai penyiasat.

Timbalan Penguasa Washington County, Shannon Wilde memberitahu agensi berita KATU2, “Jika anda bertanya kepada mana-mana responden pertama, kematian kanak-kanak ini adalah panggilan terburuk yang kami terima.”

Katanya lagi, “kami melihat banyak perkara yang mengerikan tetapi melihat anak ini dalam keadaan itu adalah yang terburuk.”

Pada peringkat ini, tiada tuduhan dibuat terhadap keluarga selepas kematian kanak-kanak itu.

Amerika Syarikat giat menjalankan kempen meminta ibu bapa untuk memastikan senjata di kediaman mereka disimpan dengan betul dan tidak mudah dicapai kanak-kanak.

Penguasa dari Cease Fire Oregon, Penny Okamoto berkata pemilik perlu memastikan senjata api sentiasa disimpan di tempat selamat.

Keluarga James enggan memberikan komen, tetapi membenarkan Pejabat Sheriff Washington County menggunakan gambar kanak-kanak itu di media sosial dan media.