Mayat bayi berbalut tuala wanita
Kupang: Terkejut bukan kepalang seorang pengembala lembu apabila menemui mayat bayi yang berbalut tuala wanita ketika menjaga ternakannya di Kelurahan Sasi, Kota Kefamenanu, Nusa Tenggara Timur di selatan Indonesia.
Dominggas Angket menemui mayat bayi malang itu apabila seekor daripada ternakannya menghampiri kotak kadbod yang diikat tali rafia.
Wanita itu mendekati lembunya untuk melihat isi kotak berkenaan dan terkejut apabila mendapati ada mayat bayi yang sudah busuk sebaik membuka bungkusan terbabit.
“Jenazah bayi yang sudah busuk itu dibungkus menggunakan plastik merah dan tuala wanita,” kata pegawai polis, Sujud Alif Yulamlam seperti dilapor Kompas.
Dominggas kemudian memaklumkan hal itu kepada suaminya, Benediktus Taela dan mereka membuat laporan polis.
Sujud berkata, polis bergegas ke lokasi dan kini giat mengesan saksi yang melihat kejadian.
“Kes masih dalam siasatan, manakala jenazah bayi sudah dikebumikan di tanah perkuburan umum Bijaesunan di Kilometer 5 Atambua,” katanya.