Mayat model dalam kubur besar

Mexico City: Kehilangan seorang model terkenal di Mexico akhirnya terbongkar selepas mayatnya ditemui dalam kubur besar bersama enam mayat individu lain.

Yessenia Estefania Alvarado, 24, dilaporkan diculik empat lelaki di tepi jalan, di sini, sebelum dilarikan menggunakan sebuah pikap pada 14 Ogos lalu.

Kehilangan ibu muda itu disedari keluarganya yang kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Dalam laporan pendakwa raya, polis sudah membawa keluar lima mayat dari kubur berkenaan.

Identiti Yessenia disahkan ahli keluarganya yang mengecam baju yang dipakai mangsa.

Laporan asid deoksiribonukleik (DNA) turut mengesahkan perkara sama.

Ketika mangsa dilaporkan hilang, abang wanita itu, Juan Carlos Alvarado Rivera pernah memuat naik gambar adiknya di media sosial.

Lelaki itu turut merayu orang ramai untuk mendapatkan bantuan bagi mengesan adiknya.

“Kamu akan kembali. Kamu seorang wanita yang baik, ibu yang hebat dan tidak mendatangkan masalah kepada sesiapa saja.

“Apa yang berlaku hanyalah salah faham,” kata Carlos.

Namun, sebaik berita mengenai penemuan mayat adiknya disahkan polis, Carlos sekali lagi meluahkan kesedihan di laman sosialnya.

“Pergilah adikku. Saya akan merindui kami. Jumpa kamu nanti,” katanya.

Media tempatan melaporkan polis masih mengenal pasti identiti mayat lain.