Membesar makan nuget saja

London: Gangguan pelik dialami seorang kanak-kanak di United Kingdom ini membuatkan dia fobia makanan lain dan hanya boleh menelan nuget ayam.

Perangai pelik Jessica Jones, 6, yang ketakutan setiap kali mahu disuap dengan makanan lain itu disedari ibunya, Lesley, 32, sejak anaknya itu masih bayi.

Ketika itu, ibunya cuba memberikannya makanan pejal kepada Jessica.

Akibatnya, Lesley dari St Helens, Merseyside memperuntukkan 40 pound sterling (kira-kira RM217) sebulan membeli nuget ayam, makanan mampu ditelan Jessica.

Risau dengan keadaan anaknya, Lesley membawa Jessica menemui pakar tingkah laku kognitif, David Kilmurry yang akhirnya mengesahkan kanak-kanak itu mengalami gangguan mengelak pengambilan makanan (ARFID).

Pembantu guru itu berkata, pengalaman buruk sukar mendapatkan nuget ayam ketika bercuti di Turki membuatkan ibu tiga anak itu tekad menemui pakar untuk mengetahui penyakit anaknya.

Katanya, Jessica menjalani dua jam rawatan hipnoterapi dan kini mampu makan makanan seimbang lain.

“Ia amat menakjubkan apabila dia kini boleh makan apa saja selepas beberapa tahun hanya makan nuget ayam.

“Dia juga mula ingin mencuba makan potongan epal kecil dan membawanya sebagai makanan ringan ke sekolah.

“Kami juga memberikannya ganjaran melalui carta pelekat apabila dia makan makanan lain sebagai galakan dan dorongan kepadanya,” katanya.