Memerang ‘bersiar-siar’ di Singapura

Singapura: Memerang yang sebelum ini menjadi pujaan pencinta alam di Singapura mula menimbulkan kemarahan orang awam selepas muncul di tempat tidak dijangka dan membuat kerosakan.

Disebabkan jalan raya kosong, haiwan berkenaan dilihat ‘bersiar-siar’ di pusat beli-belah, di lobi hospital dan ‘menjamu selera’ dengan ikan mahal yang dicuri dari kolam persendirian.

Walaupun ramai yang menganggap Singapura negara kecil dan padat dengan hutan konkrit, namun republik berkenaan juga memiliki kawasan hutan hijau menarik dan laluan air yang bersih selain terdapat pelbagai hidupan liar.

Dianggarkan terdapat sekitar 90 memerang di Singapura, yang terdiri dari 10 keluarga.

Penampilan mereka di tempat-tempat pelancongan popular di pusat bandar telah mengubahnya menjadi selebriti tempatan.

Kumpulan memerang ini kerap dilihat selepas orang ramai diminta tinggal di rumah dan pejabat ditutup sejak April lalu bagi mengekang penularan Covid-19.

“Apabila berlaku sekatan pergerakan, kenderaan semakin kurang dan ruang di bandar terbuka luas,” kata N Sivasothi, ahli biologi di Universiti Nasional Singapura yang dikenal sebagai ‘Otterman’ kerana kerjanya terhadap haiwan.

Tetapi kebebasan baharu mereka nampaknya menjadikan memerang ini semakin berani dan mereka sekarang menghadapi reaksi balas.

Insiden baru-baru ini membabitkan serangan di kolam spa yang ditutup kerana pandemik.

Haiwan itu dilaporkan menelan beberapa ikan termasuk arowana, spesies berharga yang boleh dijual dengan harga puluhan ribu dolar.

Jazreel Low, pengusaha spa yang juga pelakon tempatan menyiarkan gambar di Facebook bahagian ikan yang berserakan di sekitar kolam dan meratapi kejadian disifatkan sebagai ‘pembunuhan beramai-ramai’.

“Mereka mungkin menyedari bahawa tidak ada orang di sana dan menjadi lebih berani,” katanya.

Kes itu mencetuskan perdebatan mengenai apakah perlu dilakukan untuk menghentikan serangan memerang di kota itu, dengan beberapa cadangan timbul termasuk penggunaan peluru getah dan hon.

“Babi hutan tidak pernah ‘dialu-alukan’ untuk memasuki kawasan bandar dan jangan hanya kerana memerang kelihatan comel, mereka dibenarkan berbuat demikian,” tulis satu komentar di akhbar tempatan.