Merebak lebih awal

KORONAVIRUS yang muncul di Wuhan, China dipercayai merebak lebih awal daripada yang diketahui umum berdasarkan imej satelit dan carian kata kunci di Internet.

Kajian oleh Harvard Medical School mendapati jumlah kenderaan yang diparkir di tempat letak kenderaan di lima hospital utama di Wuhan adalah lebih tinggi sekitar Oktober 2019 berbanding Oktober 2018.

Malah, carian bagi batuk dan cirit-birit di enjin carian China, Baidu turut meningkat sekitar tempoh sama.

The Telegraph melaporkan, penyelidik dari institusi berkenaan mengesyaki virus itu wujud lebih awal daripada Disember tahun lalu iaitu tarikh kerajaan China memaklumkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai wabak itu.

Kajian itu diketuai Dr John Brownstein, profesor perubatan Harvard dan turut disertai penyelidik dari Boston University serta Boston Children’s Hospital.

Berdasarkan laporan ABC News, kumpulan penyelidik itu membandingkan imej satelit di Wuhan pada 2019 dan 2018 iaitu teknik sama digunakan Agensi Risikan Pusat (CIA).

Mereka menggunakan 350 imej dengan satu pertiga memaparkan imej jelas.

Di Zhongnan Hospital of Wuhan University, ada 506 kenderaan di ruang letak kereta pada Oktober 2018 namun, terdapat 640 kenderaan diparkir di lokasi sama dalam tempoh sehari pada Oktober 2019.