‘Mereputlah’ kau dalam penjara

Los Angeles: Pembunuh dan perogol bersiri ‘Golden State Killer’ yang mengaku salah atas 13 pertuduhan membunuh dan berdozen kesalahan rogol pada 1970-an dan 1980-an dihukum penjara sepanjang hayat tanpa kemungkinan diberikan parol.

Sebelum hukuman dijatuhkan, Joseph James DeAngelo Jr yang juga bekas anggota polis Amerika Syarikat (AS) memohon maaf terhadap mangsa dalam episod kekejamannya yang menggemparkan California selama hampir sedekad.

Dia berdiri dengan memakai pelitup muka pada prosiding di mahkamah di Sacramento ketika satu persatu butiran kekejamannya dibacakan.

DeAngelo sebelum ini mengaku salah bagi mengelak hukuman mati.

“Mangsa yang terselamat sudah memberikan kenyataan yang jelas. Defendan tidak layak diberikan belas kasihan,” kata Hakim Michael Bowman sambil diiringi tepukan daripada mangsa dan ahli keluarga mereka.

Hakim menjatuhkan hukuman penjara paling maksimum yang diperuntukkan undang-undang.

Sebelum hukuman dijatuhkan, DeAngelo bangun dan memohon maaf kepada yang hadirin yang hadir dalam auditorium universiti yang diisytiharkan sebagai kamar mahkamah.

Ia dipenuhi dengan individu yang mematuhi penjarakan fizikal.

“Saya mendengar semua kenyataan anda. Semuanya sekali dan saya minta maaf kepada semua orang yang saya sakiti,” kata DeAngelo.

DeAngelo, 74, diarahkan menjalani 11 hukuman penjara sepanjang hayat secara berasingan tanpa parol untuk 13 kesalahan membunuh darjah pertama.

Tiga daripada kes bunuh berkenaan berlaku sebelum pindaan undang-undang pada 1979, dan hukuman itu berjalan serentak.

Tertuduh yang sudah bersara dan mempunyai tiga anak perempuan yang sudah dewasa dan cucu hanya ditahan pada 2018, tiga dekad selepas melakukan pembunuhan yang digelar sebagai “Golden State Killer”.

Dia ditahan selepas pasukan penyiasat dapat memadankan profil asid deoksiribonukleik (DNA) ditemui di tempat kejadian dan DNAnya.

Ia hanya dikesan selepas seorang ahli keluarganya menggunakan pangkalan data DNA.

DeAngelo dikatakan mula melakukan jenayah kejam itu pada 1975, bermula di Sacramento di tengah California sebelum ke kawasan lain.

Dia dikatakan memecah masuk ke dalam rumah ketika malam untuk merogol wanita dan kanak-kanak dan membunuh mangsa di katil mereka.

Dalam satu kes, dia memaksa seorang wanita melakukan seks oral dengan mengugut akan memotong telinga bayi mangsa.

Bagaimanapun, dia secara tiba-tiba berhenti melakukan jenayah berkenaan pada 1986 selepas merogol seorang gadis berusia 18 tahun.

Sepanjang tempoh berkenaan, dia yang memakai topeng ketika melakukan jenayah digelar dengan pelbagai nama termasuk East Area Rapist, Diamond-Knot Killer dan Original Nightstalker.