Mesin penjual ganja

NEW YORK: Lazimnya, hanya makanan, minuman, permainan dan barangan keperluan peribadi sahaja boleh dibeli menerusi mesin layan diri.

Namun, sebuah syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat menyediakan mesin sama bagi menjual pelbagai jenis produk berasaskan ganja.

Ia khusus untuk pelanggan yang mahu mendapatkan bekalan produk itu tanpa perlu bertemu dengan pekerja premis yang menjual produk berkenaan.

Portal The Know Denverpost melaporkan mesin layan diri bernama Anna itu kini terdapat di sebuah premis yang menjual produk berasaskan ganja di Strawberry Fields, Colorado.

Menerusi mesin berkenaan, pelanggan boleh membuat pesanan dengan hanya mengimbas kod QR dan proses itu hanya mengambil masa kurang seminit.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Anna, Matt Frost berkata, mesin layan diri dapat mengurangkan tempoh menunggu pelanggan.

Frost yang mempunyai latar belakang dalam bidang analisis kesihatan mengetengahkan konsep itu kerana melihat ada keperluan dan permintaan dalam tempoh pandemik Covid-19.

“Segelintir pelanggan sudah lama menggunakan ganja, jadi mereka tidak memerlukan kakitangan untuk membantu dalam urusan jual beli.

“Malah, mereka ini tahu produk apa yang diperlukan dan memandangkan Covid-19 belum reda dan perlunya penjarakan fizikal, maka pendekatan ini dirasakan perlu.