Mesyuarat tonton aksi mengaibkan

SAO PAULO: Sesuatu yang memalukan bagi seorang lelaki apabila dirakam sedang mandi ketika persidangan video bersama Presiden Brazil, Jair Bolsonaro.

Daily Mirror melaporkan, ahli perniagaan itu secara tidak sengaja mengaktifkan kamera telefon bimbitnya ketika mesyuarat menerusi aplikasi Zoom.

Mesyuarat itu dianjurkan Paulo Skaf, Presiden Industri Persekutuan Sao Paulo.

Pengguna Twitter, Andres Repetto berkongsi tangkap layar mesyuarat yang disertai 24 pegawai dengan seorang daripada mereka tidak memakai baju dalam bilik mandi.

Media tempatan melaporkan, Presiden Jair Bolsonaro segera menyedari perkara itu dan memaklumkan kepada Skaf.

“Ada seseorang di petak kecil ini, adakah dia okay?,” katanya.

Menteri Industri, Paulo Guedes turut menyedari ahli mesyuarat itu terlupa log keluar kamera telefon ketika mandi.

“Lelaki itu mandi tanpa pakaian. Dia mungkin terasa bahang dalam mesyuarat ini dan selepas itu terus mandi.

“Tapi malangnya kita melihat perbuatan itu dalam keadaan video bergoyang,” kata Bolsonaro.

Sehingga kini, individu dimaksudkan itu belum didedahkan.