Microsoft benar kerja dari rumah selama-lamanya

Washington: Syarikat gergasi perisian utama, Microsoft membenarkan pekerjanya untuk bekerja dari rumah selama-lamanya, jika mereka mahu berbuat demikian.

Media tempatan Amerika Syarikat (AS) melaporkan syarikat berkenaan menjadi majikan terbaharu yang memberi kelonggaran untuk berbuat demikian berikutan pandemik Covid-19.

Laman web berita teknologi The Verge melaporkan kebanyakan daripada kakitangan Microsoft, ketika ini, masih bekerja dari rumah.

Selain itu, laporan itu menyebut bahawa syarikat berkenaan tidak berhasrat untuk membuka semula pejabatnya di AS sehingga sekurang-kurangnya, Januari tahun depan.

Bagaimanapun, pekerja mempunyai pilihan untuk bekerja dari rumah selama-lamanya selepas mendapat kebenaran daripada pengurus.

“Pandemik Covid-19 menyebabkan kita terpaksa berfikir, hidup dan bekerja dalam cara baharu.

“Kami akan memberikan fleksibiliti seboleh mungkin untuk menyokong cara kerja individu, dan mencari keseimbangan antara keperluan perniagaan dan budaya kerja kita,” kata ketua sumber manusianya, Kathleen Hogan menerusi memo diedarkan pekerja Microsoft, yang diperoleh The Verge.

Bagaimanapun, The Verge turut melaporkan tidak semua pekerja Microsoft akan diberi kelonggaran berkenaan.

Ia termasuk kakitangan yang bekerja di makmal dan terbabit melatih pekerja lain.

Menerusi memo berkenaan, The Verge melaporkan Microsoft turut menjelaskan kakitangan boleh bertugas dari mana-mana lokasi di AS atau di luar negara.

Bagaimanapun, pekerja mungkin akan menyaksikan perubahan gaji berdasarkan lokasi, dan syarikat akan menanggung perbelanjaan untuk pejabat di rumah.

Namun, Microsoft tidak akan menanggung kos perpindahan pekerja terbabit.

Setakat akhir Jun, Microsoft mempunyai 163,000 pekerja dengan 96,000 orang daripadanya di AS.

Syarikat teknologi utama lain yang membenarkan pekerja bekerja di rumah untuk selama-lamanya adalah Facebook.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19