Minnesota darurat, rusuhan makin buruk

Washington: Gabenor Tim Walz pada Khamis mengisytiharkan darurat di Minnesota selepas tunjuk perasaan ekoran kematian George Floyd bertukar menjadi ganas.

Menurut agensi berita Xinhua, Floyd maut pada Isnin petang, sejurus selepas seorang polis kulit putih menggunakan kekerasan ketika menahannya, biarpun lelaki kulit hitam berusia 40-an itu berulang kali merayu.

Lelaki itu dikatakan sukar bernafas apabila anggota polis terbabit menekan leher mangsa dengan lututnya.

Perintah darurat dikeluarkan Walz selepas Datuk Bandar Minneapolis Jacob Frey memohon sesuatu dilakukan memandangkan banyak kerosakan dan keganasan berlaku dalam rusuhan yang tercetus pada Rabu malam itu di Minneapolis.

“Keadilan mesti ditegakkan, kematian George Floyd perlu dibela,” kata Walz dalam satu kenyataan.

“Sudah sampai masanya untuk membina semula sistem keadilan kita.”

Protes pada awalnya berlangsung secara aman, bertukar ganas apabila penunjuk perasaan melepaskan tembakan dan bertindak membakar beberapa bangunan berhampiran lokasi kejadian.

Demonstrasi turut merebak ke beberapa bandar lain termasuk Los Angeles dan Memphis.