‘Money Heist’ di Jerman larikan 6.5 juta euro

Berlin: Penyiasat Jerman melancarkan misi mencari tiga individu yang dipercayai melarikan wang tunai berjumlah 6.5 juta euro (kira-kira RM31.6 juta) selepas memecah masuk pejabat kastam di sini.

Polis dalam kenyataan berkata, jenayah itu dilakukan secara profesional dan dirancang secara teliti.

“Tiga suspek kononnya menjalankan satu latihan untuk memasuki bilik kebal dari bilik bersebelahan di ruang bawah tanah bangunan berkenaan,” katanya.

Kejadian berlaku di bandar Duisburg.

Saksi memberitahu pihak berkuasa bahawa terdapat bunyi kerja menggerudi sekitar jam 6 pagi.

Tiga jam kemudian, tiga lelaki berpakaian gelap dilihat berjalan keluar dari bangunan dan memunggah objek ke dalam van berwarna putih.

Mereka kemudian meninggalkan lokasi berkenaan menggunakan van itu.

Seorang saksi memaklumkan melihat lelaki berjalan berhampiran pejabat kastam sebelum memasuki sebuah kereta dan berlalu pergi ke arah yang sama dengan van berkenaan.

Gambar suspek yang berjaya diambil oleh saksi diedarkan oleh polis dan menawarkan ganjaran 100,000 euro (kira-kira RM486,000) untuk maklumat yang boleh membawa kepada penangkapan suspek.