Monyet bawa lari sampel ujian Covid-19

Uttar Pradesh: Sekumpulan monyet menyerang juruteknik makmal yang membawa sampel pesakit yang disyaki dijangkiti Covid-19 dan melarikan tiga sampel berkenaan.

Kejadian yang berlaku di Kolej Perubatan Meerut, di sini, menimbulkan keresahan orang awam kerana sampel yang dilarikan itu masih ‘dipegang’ monyet berkenaan.

Portal India Today melaporkan, seorang doktor di kolej itu mendakwa, monyet di sekitar kawasan berkenaan sering menyerang manusia.

Pihaknya sudah membuat laporan polis untuk tindakan lanjut dan turut membuat aduan kepada jabatan perhutanan supaya tangkapan boleh dibuat.

Dalam satu video yang dikongsi, seekor monyet dilihat duduk di atas pokok dan mengunyah kit sampel berkenaan.