Muzium Kariye kembali ditukar kepada masjid

Istanbul: Satu lagi gereja Kristian Ortodoks di Turki yang ditukar statusnya kepada masjid.

Gereja berkenaan sebelum ini pernah dijadikan masjid dan selepas itu muzium.

Arahan itu diumumkan oleh Presiden negara itu Recep Tayyip Erdogan bagi membolehkan umat Islam beribadat di bangunan berkenaan.

Keputusan untuk menukar status Muzium Kariye itu diumumkan sebulan selepas penukaran kontroversi status tapak warisan dunia, Hagia Sophia daripada muzium kepada masjid, baru-baru ini.

Perkembangan itu bagaimanapun menambahkan ketegangan negara itu dengan Gereja Kristian Ortodoks dan Greece.

Kementerian Luar Greece menyifatkan langkah berkenaan sebagai satu tindakan provokasi oleh kerajaan Turki.

Sejarah bangunan berusia 1,000 tahun itu hampir sama dengan Hagia Sophia yang terletak di muara Golden Horn di bahagian Istanbul yang berada di kawasan Eropah.

Gereja The Holy Saviour in Chora, era Byzantine itu, dihiasi dengan lukisan dinding memaparkan elemen Kristian.

Ia ditukar kepada Masjid Kariye kira-kira 50 tahun selepas penaklukan Constantinople (kini Istanbul) oleh kerajaan Turki Uthmaniyah.

Selepas Perang Dunia Kedua, bangunan itu ditukar kepada Muzium Kariye selepas pembentukan negara republik yang lebih sekular.

Sekumpulan ahli sejarah seni Amerika kemudian membantu melakukan pemuliharaan mozek aslinya sebelum ia dipertontonkan kepada umum pada 1958

Mahkamah negara itu membenarkan penukaran status muzium berkenaan kepada masjid pada November tahun lalu.

Bangunan berwarna seperti warna pasir itu yang dilihat pada masa ini itu adalah sebahagian daripada struktur biara yang dibina pada abad keempat ketika Constantinople baru dijadikan ibu negara kepada Empayar Roman.

Ia dihiasi dengan menara pada satu bahagiannya dan kubah, sama seperti yang dilihat di masjid utama lain yang terdapat di Istanbul.