Naik hantu pukul anak sampai mati

‎Uttar Pradesh: Bengang kerana anak perempuannya bising, seorang bapa di utara India memukul dua kanak-kanak malang itu dengan batu-bata sehingga mati.

Kejadian dilapor berlaku di perkampungan Banethu, Sant Kabar Nagar, di sini pada malam Ahad lalu iaitu sehari sebelum umat Islam di negara itu menyambut Aidilfitri.

Disebabkan itu, penduduk kampung dilapor berduka dan kebanyakan mereka tidak meraikan Syawal.

Memetik laporan Gulf News, jurucakap polis mengesahkan sudah menahan lelaki itu yang dikenali Zainul Abdeen, 35.

Suspek sudah berpisah dengan isterinya, Shahida lebih setahun lalu dan anak mereka, Alsiba dan Mosiba berusia dua serta lima tahun berada di bawah jagaan Zainul.

“Pada malam Ahad, kanak-kanak itu bermain di dalam rumah dan membuat bising, menyebabkan bapa mereka naik angin.

“Suspek mengambil batu-bata berhampirannya dan memukul kepala dua mangsa sampai mati.

“Polis ke rumah itu selepas menerima maklumat awam dan suspek berjaya ditahan,” katanya.

Mayat dua kanak-kanak berkenaan dihantar ke hospital berhampiran untuk dibedah siasat.