Naik layang-layang gergasi jadi tumpuan

Jogjakarta: Manusia naik layang-layang. Bunyinya agak pelik tetapi itu berlaku di daerah Bantul di sini.

Kawasan itu menjadi tumpuan penduduk sekitar dengan aktiviti menaiki layang-layang gergasi ke udara di Gumuk Pasir dan Jalan Jalur Lintas Selatan.

Detiknews melaporkan, aktiviti ekstrem itu mengundang kebimbangan pihak berkuasa di Bantul kerana ia dilakukan tanpa alat keselamatan yang sesuai.

Ketua Komuniti Yulius Suharta berkata, pihaknya akan terus memantau perkara itu yang tular di media sosial.

Katanya, kegiatan itu sangat bahaya kerana tidak disokong alat keselamatan yang diperakui pihak berkuasa.

“Kami akan siasatan di lokasi. Jika ia mendatangkan bahaya, kami akan minta kegiatan itu dihentikan.

“Ini akan mengundang kehadiran ramai. Kami tidak mahu ada kegiatan di Jalan Jalur Lintas Selatan seperti tidak berapa lama dulu ,” katanya.

Seorang pembuat layang-layang, Wardoyo berkata, setakat ini belum ada peraturan untuk membuat layang-layang itu yang awalnya dijadikan sebagai satu hiburan.

“Mulanya ia adalah aktiviti masa lapang. Tidak terfikir ia akan pergi sejauh ini.

“Tetapi kami juga bersedia di bawah jika berlaku keadaan tidak diingini,” katanya.