Nekad bakar diri

Jakarta: Seorang wanita dari daerah Maluku Tenggara nekad menyiram badan dengan minyak tanah dan membakar diri kerana tidak tahan dengan sikap suaminya yang cemburu buta.

Wanita berusia 24 tahun itu mendakwa sering dituduh curang dengan lelaki lain sedangkan tidak melakukannya.

Tribun News melaporkan, tindakan itu menyebabkan wajah dan sebahagian badan wanita berkenaan melecur serta mengalami luka yang serius.

Dia bagaimanapun sempat dikejarkan ke Hospital Sadsuitubun di Langgur untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Pegawai Penyiasat Maluku Tenggara Hamin Siompo mengesahkan kejadian itu berlaku di kuarters guru di Ohoijang, daerah Maluku Tenggara pada Khamis lalu.

“Siasatan awal dijalankan mendapati mangsa nekad membakar diri kerana tidak tahan dengan suaminya yang sering curiga dan menuduhnya menjalin hubungan dengan lelaki lain.

“Jadi, motifnya adalah kerana sikap suami mangsa yang cemburu.

“Susulan kejadian itu, mangsa dilaporkan masih mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sadsuitubun,” katanya.

Menurut Hamin, kejadian berlaku ketika suami mangsa yang berusia 27 tahun dan bapanya ada di rumah.

Katanya, suami mangsa sempat membantu memadamkan api yang menyambar wajah dan tubuh isterinya hingga tangannya turut terbakar.

“Demikian pengakuan lelaki itu, tetapi kita tidak boleh mempercayai sebelah pihak saja kerana perlu mendapatkan keterangan mangsa untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurut Hamin, pihaknya belum boleh mendapatkan keterangan mangsa kerana hospital tidak membenarkan sesiapa pun melawat wanita itu buat masa ini.

Malah, katanya, keluarga mangsa juga belum membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

“Setakat ini, hanya suami mangsa dan bapanya yang sudah diambil keterangan.

“Manakala, keluarga mangsa sudah berjanji akan datang ke Maluku Tenggara bagi membuat laporan polis,” katanya.