Nelayan daif dipatuk ular mati tiada duit beli ubat

Jakarta: Pilu hati seorang isteri apabila suaminya meninggal dunia akibat dipatuk ular kerana tidak mempunyai wang untuk membeli ubat.

Zaini, seorang nelayan di Jambi, Indonesia dipatuk ular ketika mencari rezeki di laut.

Isterinya, berusaha sedaya upaya merawatnya sendiri kerana mereka tidak mempunyai wang untuk membeli ubat.

Bagaimanapun, keadaan kesihatan Zaini semakin merosot sebelum menghembuskan nafas terakhir selepas lima hari bertarung nyawa.

Kakak iparnya, Husni berkata, Zaini meninggalkan empat anak dengan anak sulung berusia lapan tahun, hasil perkongsian hidup dengan adiknya itu.

“Pendapatan Zaini hanya cukup makan,” dedahnya kepada Kompas.com.

Kedaifan keluarga Zaini itu tular selepas foto isteri dan anaknya di depan pondok buruk mereka di Kampung Sungai Sayang, Tanjab Timur, tersebar di media sosial.

Ia meruntun hati banyak pihak hingga ramai penyumbang termasuk dari Sulawesi, Jawa, Padang dan negara jiran, Australia menyalurkan bantuan.

Mengulas lanjut Husni berkata, selama lapan tahun menetap di pondok itu, pemimpin setempat pernah datang menyantuni keluarga berkenaan, namun proses bantuan tidak dapat dilakukan.

“Zaini tidak memiliki kad pengenalan dan pemimpin setempat sudah memintanya menguruskan bagi mendapatkannya,” katanya.