Nenek 90 tahun dinoda berulang kali

New Delhi: Tidak hanya dipukul, tetapi seorang nenek berusia 90 tahun di India turut diperkosa berulang kali oleh seorang lelaki tidak dikenalinya.

The Sun melaporkan kejadian berlaku ketika mangsa menunggu penjual susu menghantar minuman itu ke rumahnya.

“Pada hari kejadian, mangsa didatangi seorang lelaki menunggang motosikal yang mendakwa penghantar susu itu tidak dapat datang ke rumahnya.

“Suspek kemudian menawarkan untuk membawa wanita berkenaan membeli susu.

“Bagaimanapun, suspek membawa wanita itu ke ladang sebelum merogol mangsa,” kata Ketua Pesuruhjaya Wanita Delhi, Swati Maliwal kepada BBC.

Mangsa merayu kepada suspek untuk menghentikan perbuatan dengan alasan sudah berusia tetapi rayuannya tidak diendahkan.

Difahamkan, mangsa akhirnya diselamatkan oleh penduduk di daerah Najafgarh selepas terdengar jeritan wanita itu meminta tolong.

Mangsa dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Pemeriksaan mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan dan lebam pada badannya termasuk di bahagian alat sulit.

“Mangsa mengalami pendarahan yang banyak dan sangat trauma,” katanya.

Sementara itu, The Times of India melaporkan, suspek yang juga tukang paip berusia 37 tahun sudah ditahan polis tidak lama selepas kejadian.