Nenek kemaruk game

Tokyo: Kesungguhan seorang warga emas di Jepun menyahut cabaran bermain game, berbaloi apabila dia kini diiktiraf sebagai YouTuber game tertua dunia.

Hamako Mori atau lebih dikenali pengikutnya sebagai Gaming Grandma mula menceburi bidang berkenaan pada usianya 51 tahun, kira-kira 39 tahun lalu selepas tertarik melihat kanak-kanak bermain permainan video itu.

“Ia nampak sungguh seronok dan saya rasa tak adil jika hanya kanak-kanak saja bermainnya.

“Saya rasa hidup akan lebih seronok jika saya tahu cara bermain. Jadi saya mula menerokanya dan bermain sendiri kali pertama tanpa diketahui sesiapa,” katanya seperti dilaporkan menerusi Guinness World Records.

Menurut warga emas yang kini memiliki lebih 150,000 pengikut di saluran YouTube miliknya itu, dia menyimpan koleksi konsol dan perisian game yang dibelinya puluhan tahun lalu.

“Saya sedang meneroka konsol PlayStation 4 (PS4) dan selepas ini akan mencuba game aksi.

“Saya tak menyentuhnya sehinggalah baru-baru ini kerana susah hendak bermain. Tetapi game aksi tersedia dalam visual menakjubkan dan selalunya menggunakan aktor untuk karektor dalam permainan itu,” katanya. – Agensi

“Kini, saya sangat obses dengannya,” katanya.

Katanya, jenis permainan diminatinya adalah ‘Grand Theft Auto V’ yang digambarkannya umpama menonton filem.

“Saya sukakannya dan ia paling terbaik kerana tiada had umur bermainnya.

“Saya memuat naik video game di saluran YouTube kerana mahu berkongsi pengalaman bermain game dengan orang lain.

“Alangkah ruginya jika saya saja menikmatinya,” katanya.

Hamako berkata, dia akan memuat naik tiga hingga empat video sebulan dan amat terharu dengan penerimaan dan sokongan peminatnya.

“Saya terima banyak komen yang memberikan kekuatan dan mendorong saya untuk menghasilkan lebih banyak video yang boleh menggembirakan hati orang lain. Itulah impian saya.

“Selepas melaluinya sejauh ini, saya rasa bermain game adalah pilihan tepat.

“Saya benar-benar menikmati hidup saya,” katanya. – Agensi