Nepal kecualikan larangan untuk putera Bahrain daki gunung

KATHMANDU: Nepal akan membuat pengecualian Diraja terhadap larangan ketibaan pelancong asing ke negara berkenaan, selepas sekumpulan pendaki termasuk putera Bahrain merancang untuk mendaki dua gunung di sini.

Negara Himalaya itu menutup pintu sempadan pada Mac lalu termasuk menghentikan penerbangan antarabangsa, menyebabkan sektor pelancongan tempatan terus dihimpit kemerosotan pendapatan.

Kumpulan seramai 18 pendaki itu diberi kebenaran khas untuk memasuki Nepal bagi mendaki Gunung Manaslu setinggi 8,163 meter dan Gunung Lobuche (6,119 meter).

“Kumpulan berkenaan terdiri daripada 15 individu termasuk seorang putera Bahrain dan tiga warga British akan dibenarkan memasuki Nepal melalui penerbangan peribadi mengikut protokol kesihatan yang ditetapkan,” kata jurucakap kerajaan, Yuba Raj Khatiwada.

Pasukan Bahrain itu dijangka tiba seawal pertengahan bulan ini, turut merancang mendaki Gunung Everest tahun depan.

Lebih 50 Sherpa akan menyertai ekspedisi itu, dengan penggunaan helikopter bagi mengurangkan kontak fizikal, kata penganjur Seven Summit Treks.

Nepal membuka semula laluan pendakian gunung termasuk Everest penghujung Julai lalu dengan jangkaan penerbangan anatarabangsa mula dibuka pertengahan Ogos.

Namun, peningkatan jumlah kes jangkitan Covid-19 beberapa minggu kebelakangan ini memaksa kerajaan menangguhkan hasrat berkenaan.

Penerbangan antarabangsa yang terhad dibuka sejak semalam namun hanya untuk warganegara dan diplomat.

Penerbangan domestik masih belum dibenarkan.

Malah, warga asing juga tidak dibenarkan memasuki Nepal melalui jalan darat.

Ketiadaan pendaki luar menyebabkan pengendali pelancongan tempatan terus dihimpit masalah kewangan.

Negara dengan 28 juta penduduk itu merekodkan 9,000 jangkitan baharu dan 91 kematian dalam tempoh 10 hari.

Ia mencatatkan keseluruhan 39,460 kes dan 228 kematian.

Nepal memiliki lapan daripada 14 puncak tertinggi dunia dan pendaki asing adalah sumber pendapatan utama negara itu.