New Zealand mahu Tarrant dipenjara di Australia

Sydney: Canberra terbuka dengan cadangan New Zealand untuk menghantar lelaki Australia yang menyerang dua masjid di Christchurch, New Zealand untuk menjalani hukuman di Australia, kata Perdana Menteri Scott Morrison.

Brenton Tarrant, 29 dihukum penjara sepanjang hayat tanpa parol, Khamis lalu kerana menyerang dua masjid dan menembak mati 51 orang Islam, tahun lalu.

Sebaik sahaja hukuman dijatuhkan, Timbalan Perdana Menteri New Zealand Winston Peters berkata, Tarrant perlu dipindahkan ke penjara Australia.

“Komuniti Islam dan seluruh rakyat New Zealand sudah cukup menderita, dan kami tidak perlu membayar sejumlah besar kos untuk memastikan dia selamat dalam sistem penjara kami,” kata Peter.

Bagaimanapun Morrison berkata, beliau belum menerima permohonan untuk memindahkan Tarrant tetapi bersedia membincangkan perkara itu dengan rakan sejawatnya, Jacinda Ardern.

“Sama ada dia (Tarrant) menjalani hukuman di Australia atau New Zealand, kita terbuka untuk berbincang,” katanya kepada stesen televisyen Seven News.

“Ia jelas mempunyai banyak implikasinya, keputusan seumpama ini. Saya dan Perdana Menteri New Zealand akan berbincang mengenai isu ini,” katanya.

Beliau berkata, hasrat mangsa yang terselamat dan keluarga mangsa terkorban akan diberi keutamaan sebelum membuat keputusan berhubung masa depan Tarrant.

“Yang penting kita prihatin terhadap pandangan keluarga yang terkesan dan kita mahu lakukan yang terbaik,” katanya.