Nyaris ‘ditelan’ ikan paus

California: Dua individu di Amerika Syarikat (AS) berdepan pengalaman yang mungkin tidak akan dilupakan seumur hidup apabila mereka hampir ‘ditelan’ ikan paus kelasa.

CNN melaporkan kejadian itu berlaku berhampiran Pantai Avila ketika Julie McSorley dan Liz Cottriel menaiki kayak untuk meninjau kehidupan mamalia itu di perairan berkenaan.

Detik cemas yang dirakam saksi kejadian menunjukkan kayak dinaiki mereka hampir ditelan mamalia antara yang terbesar di dunia.

Ketika kejadian, ikan paus itu secara tiba-tiba dilihat muncul dari dalam laut ke permukaan air sehingga menyebabkan kayak dinaiki dua individu itu terbalik.

Menurut McSorley, sebelum itu, mereka memutuskan untuk mendekati paus terbabit dengan lebih dekat.

“Saya lihat ikan paus itu muncul (di permukaan air) dan terfikir ia terlalu hampir (dengan kami)

“Tiba-tiba, saya tercampak (dari kayak) dan (kami sudah) berada dalam air,” katanya kepada CNN.

Katanya, pada mulanya dia merasakan mereka akan mati memandangkan saiz mamalia itu yang besar.

Bagaimanapun, kedua-duanya bernasib baik apabila terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Ia memberi pengajaran bahawa ikan paus juga mahukan ruang,” katanya.

Dalam pada itu, berdasarkan rakaman, seorang individu yang melakukan aktiviti paddle boarding turut menyaksikan kejadian berkenaan.