Origami peringati mangsa Covid-19

LOS ANGELES: Ia bermula apabila seorang artis mahu mengenang ribuan mangsa terkorban akibat wabak Covid-19 di Amerika Syarikat (AS) sebelum akhirnya menjadi pameran yang disokong orang ramai.

Pameran memperingati mangsa Covid-19 itu mengangkat origami kertas sebagai eleman utama dan ia berlangsung di Galeri Matter Studio di sini.

Karla Funderburk berkata, dia membuat origami sejak tiga bulan lalu dan membentuk angsa berwarna-warni sebelum menggantungnya di galeri.

“Saya rasa kehilangan dan ini cara menanganinya dengan melipat origami. Ia simbol tradisional Jepun yang membawa jiwa ke syurga,” katanya.

KARLA Funderburk menemui kotak berisi origami di luar galeri studionya. FOTO Facebook Matter Studio Gallery
KARLA Funderburk menemui kotak berisi origami di luar galeri studionya. FOTO Facebook Matter Studio Gallery

Artis itu cuba membuat 10 origami setiap malam, tetapi pada 14 Mei lalu, jumlah kematian akibat wabak terbabit mencecah 88,000 kes, sekali gus membuatkannya tersedar bahawa ia mengambil masa 24 tahun untuk melengkapkan origami berkenaan.

Untuk itu, dia mula meminta bantuan dan turut memuat naik inisiatif itu di Instagram.

“Hasilnya, saya menerima banyak kotak dan beg berisi origami. Ada masanya saya terima satu origami yang ada nama di atasnya dan ada kotak pula berisi 300 kertas,” katanya.

Setakat Khamis, Funderburk mengumpul 9,300 origami yang sebahagiannya digantung dan ada yang terletak di atas meja.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19