Padah hakim versatil

Bogota: Tindakan seorang hakim wanita di Colombia berkongsi gambar memakai pakaian dalam dan mengghairahkan hanya mengundang padah apabila beliau disiasat pihak berkuasa.

The Sun melaporkan Vivian Polania dipercayai berbuat demikian untuk mendapatkan tawaran istimewa termasuk diskaun pembelian dan penajaan daripada syarikat terkemuka.

Akibatnya, wanita terbabit disiasat Lembaga Disiplin Majlis Tertinggi Kehakiman negara itu.

Siasatan terhadap Polania kerana tindakannya dilihat boleh menyebabkan masyarakat hilang kepercayaan terhadap badan kehakiman.

Wanita yang berkhidmat di Cucuta, Colombia itu disiasat selepas sebuah akhbar tempatan menerbitkan artikel bertajuk Vivian Polania Franco, hakim versatil, pada 6 September lalu.

Menerusi temu bual dengan akhbar berkenaan, Polanioa berkongsi pengalamannya menjadi hakim dan kecenderungannya terhadap aktiviti kecergasan.

Antara lain, wanita itu mendedahkan amalan gaya hidup sihat itu membantunya mendapatkan bentuk badan cantik.

Polania turut memberitahu perubahan bentuk badan itu meningkatkan jumlah pengikutnya di media sosial.

Selain itu, ada beberapa jenama pakaian terkenal menghubunginya untuk menawarkan tajaan.

“Seseorang itu tidak hanya mengambil gambar mereka untuk mendapatkan tanda suka daripada pengikut.

“Ini kerana apabila jumlah pengikut ramai, syarikat dan pereka pakaian mula mencari anda dan memberi potongan diskaun atau tawaran promosi,” katanya.

Dalam pada itu, lembaga disiplin berkenaan berkata, Polania disiasat kerana mungkin melakukan perkara yang melanggar tatatertib sebagai seorang hakim.

Menurutnya, tindakan berkenaan boleh mempengaruhi pandangan orang ramai dan merendahkan martabat badan kehakiman.