Pakar bedah mumia moden tertua

KIEV: Seorang pakar pembedahan kelahiran Rusia meraih perhatian apabila muncul sebagai mumia moden tertua di dunia.

Lapor Oddity Central, ketika hayatnya Nikolay Ivanovich Pirogov mencipta sejarah apabila menjadi pelopor latihan dan prosedur yang masih digunakan dalam bidang perubatan hari ini.

Selepas kematiannya pada 1881, jasadnya diawet dan dipamerkan dalam suhu bilik di tempat pemujaan keluarganya di perkampungan Ukraine di Vinnitsa.

Kini jasadnya yang berusia 140 tahun itu masih dipelihara dan dalam keadaan baik berikutan menjalani proses pengawetan setiap lima atau tujuh tahun sekali.

Bilik persemadian lagenda perubatan itu dikenali sebagai Muzium Pirogov yang boleh dilawati pengunjung.

Tubuh pakar bedah itu diawet menggunakan campuran dan teknik yang dihasilkannya sendiri dan diuruskan muridnya, David Vyvodtsev.

Kebanyakan organ dalaman termasuk otak dan jantung tidak dikeluarkan bagi memberi penghormatan kepada jasadnya.

Pakar percaya proses peratusan rendah ke atas lemak pakar bedah itu, memberi kesan kepada pengekalan jasadnya hingga muncul sebagai mumia moden terbaik.

Ketika zaman kegemilangannya, Pirogov digelar bapa pembedahan moden dan seorang daripada pakar terbaik Russia.

Dia menghabiskan seluruh hidupnya dengan mencipta pelbagai kaedah operasi pembedahan, membentuk teknik tersendiri menampal tulang patah dengan plaster.

Beliau juga dilaporkan orang pertama menggunakan ether sebagai ubat bius yang menyelamatkan ramai pesakit.